fbpx

Wanita makin minat aset digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Info grafik berhubung pertumbuhan penglibatan golongan wanita di platform Luno sepanjang tahun lalu.

PETALING JAYA – Bursa aset digital, Luno menyaksikan pe­ningkatan pengguna wanita di negara ini sebanyak tujuh kali ganda daripada 16,000 pada 2020 kepada lebih 120,000 pada 2021, memperlihatkan trend positif untuk pelaburan aset digital dalam kalangan wanita Malaysia.

Jumlah transaksi pengguna wanita turut meningkat 12 kali ganda tahun-ke-tahun daripada RM170 juta kepada lebih daripada RM2 bilion.

Majoriti pengguna wanita Luno membeli kriptowang untuk tujuan pelaburan, manakala selebihnya adalah bagi perdagangan, penghantaran dan penerimaan serta dan pembayaran.

Sebahagian besar daripada aktiviti transaksi melibatkan golongan berusia 30-39 tahun (33 peratus), diikuti kumpulan berumur 25-29 tahun (25 peratus), 18-24 tahun (17 peratus) dan 40-49 tahun (16 peratus) daripada pelbagai latar belakang kerjaya termasuk pendidikan, penja­gaan kesihatan, perakaunan, pentadbiran serta pengilangan dan pembuatan.

Pengurus Pemasaran Luno Malaysia, Scarlett Chai berkata, aset digital membuka peluang baharu serta mampu memberi manfaat dan menyediakan kete­rangkuman kewangan buat golongan wanita.

Scarlett Chai

“Penglibatan ramai wanita Malaysia dalam pelaburan aset digital adalah sesuatu yang amat menggalakkan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Luno merupakan bursa aset digital pertama yang dikawal selia di bawah Suruhanjaya Sekuriti, menawarkan platform selamat dan dilindungi untuk rakyat Malaysia melabur dalam mata wang kripto.

Syarikat kriptowang global yang berpangkalan di London itu memiliki lebih sembilan juta pe­langgan di lebih 40 buah negara.

Menurut Chai, pihaknya komited untuk membimbing orang ramai mengenai kelebihan aset digital sebagai pelaburan alternatif dan membantu meluaskan kesedaran mengenai aset digital.

“Kami menyediakan siri webinar khusus untuk wanita, iaitu Women-in-Crypto bagi memastikan akses lebih mudah pada platform kami serta menggalakkan lebih ramai wanita untuk me­nyertai bidang ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI