BUKIT KAYU HITAM – Suasana di pintu masuk antarabangsa di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini lengang pada hari pertama pembukaan semula sempadan Malaysia-Thailand itu pada hari ini.
Pintu sempadan dibuka pada pukul 6 pagi dan hanya kelihatan kenderaan perdagangan yang keluar masuk antara dua negara tersebut.
Beberapa pejalan kaki yang membawa bagasi kemudian dilihat memasuki Thailand kira-kira sejam kemudian.
Timbalan Pengarah Imigresen Kedah (Kawalan), Rosmaliza Mohamed Rashid berkata, pihaknya mendapati pergerakan keluar masuk pengunjung di Kompleks ICQS pada pagi ini hanya dalam jumlah yang kecil.
“Setakat pukul 10 pagi ini, kira-kira 10 orang yang masuk ke Malaysia dari Thailand manakala dari Malaysia ke negara jiran itu pula adalah kira-kira 20 orang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, tiga pengunjung tidak dibenarkan masuk ke negara ini kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan seperti tidak mempunyai insurans dan tiada aplikasi MySejahtera. – KOSMO! ONLINE