PARIS – Bekas legenda Paris Saint-Germain (PSG), Ronaldinho menyeru ‘ayam tambatan’ pasukan, Kylian Mbappe menyambung kontrak baharu bersama kelab sekali gus meneruskan gandingan ampuh bersama dua pemain senior, Neymar dan Lionel Messi.
Sebagai rekod, kontrak Mbappe bersama kelab gergasi Perancis itu akan berakhir pada musim ini dengan dua kelab gergasi La Liga, Real Madrid dan Barcelona dijangka menjadi destinasi penghijrahannya selepas ini.
Kata Ronaldinho, pihak pengurusan sudah tentu berusaha keras untuk meyakinkannya dengan projek jangka panjang yang sedang direncanakan oleh kelab meskipun boleh berhijrah secara percuma selepas ini.
“Saya rasa dia akan kekal berada di PSG. Bagaimanapun, bola sepak adalah sesuatu yang sukar dijangka dan apa sahaja boleh berlaku, tetapi saya mengakui gandingan Mbappe, Neymar dan Messi adalah sesuatu yang indah untuk disaksikan.
“Secara jujur, saya bukanlah orang yang tepat untuk memberikan nasihat tetapi ketiga-tiga pemain itu adalah yang terbaik di dunia ketika ini dan bukan mudah untuk mengumpulkan mereka dalam kelab yang sama,” katanya.
Sementara itu, Ronaldinho turut berharap penyokong PSG menghargai usaha yang telah dilakukan oleh Messi dan Neymar selepas dikritik hebat susulan gagal membantu pasukan mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara musim ini.
“Saya tidak faham kenapa kesalahan ditujukan kepada Messi dan Neymar semata-mata selepas pasukan terkandas pada peringkat kalah mati UCL yang lepas. Mereka berdua adalah pemain terbaik dan wajar diberikan penghormatan yang tinggi,” katanya. –AGENSI