JOHOR BAHRU – Detik 12 tengah malam tadi menjadi detik yang bersejarah buat ribuan pekerja Malaysia di Singapura yang menyeberangi Tambak Johor buat pertama kali sejak pandemik Covid-19 melanda pada Mac 2020.
Tinjauan yang dibuat di beberapa lokasi tumpuan berhampiran laluan keluar pintu sempadan seperti di Tanjung Puteri dan Jalan Lingkaran Dalam Bukit Senyum mendapati kawasan itu mula dipenuhi keluarga yang menunggu kepulangan ahli keluarga mereka daripada Republik itu.
Kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka yang menyambut kepulangan insan tersayang ke pangkuan keluarga buat pertama kali sepanjang tempoh pandemik itu.
Suasana di Tanjung Puteri itu menjadi meriah dengan sorakan ahli keluarga yang menunggu sejak pukul 10.30 malam setelah melihat kelibat pejalan kaki yang menggendong beg pakaian berjalan menyeberangi Tambak Johor itu mula bergerak.
Tinjauan juga mendapati beberapa jalan keluar berhampiran Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini seperti di Jalan Jim Quee dan Jalan Tun Abdul Razak dikawal oleh anggota penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan kelancaran lalu lintas.
Menurut perkongsian seorang pekerja Malaysia, Fajrul Rizal Abu Bakar, 28, di Facebook menyatakan mereka yang berjalan kaki menyeberangi Tambak Johor itu dilepaskan mengikut kumpulan bagi mengatasi kesesakan.
Jelasnya, proses kemasukan mereka melalui dua ‘checkpoint’ di pintu sempadan Johor-Singapura berjalan lancar tanpa perlu menunggu lama dan hanya dibenarkan memasuki sempadan negeri pada pukul 12.01 tengah malam.
Kumpulan pertama yang menyeberangi Tambak Johor itu merupakan kelompok pejalan kaki yang tiba melalui kawasan itu sekitar pukul 12.10 tengah malam.-KOSMO! ONLINE