PUTRAJAYA – Seorang remaja perempuan sempat berkongsi mesej ‘selamat tinggal’ kepada rakan sekolahnya sebelum dia ditemui maut dipercayai terjatuh dari sebuah kuarters penjawat awam di sini, malam semalam.
Mesej menerusi aplikasi WhatsApp itu berbunyi, ‘I really don’t want to do this, but i had to. This is my last goodbye’ itu didedahkan kakak mangsa selepas kejadian itu.
Dalam kejadian pukul 7.50 malam itu, mangsa ditemui maut selepas terjatuh atas bumbung lobi tingkat satu bangunan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, mayat mangsa ditemui seorang saksi dalam keadaan terbaring di atas bumbung lobi bangunan.
Beliau berkata, saksi mendakwa terdengar bunyi dentuman kuat di atas bumbung lobi namun tidak dapat dipastikan mangsa terjatuh dari tingkat berapa.
“Soal siasat ke atas kakak mangsa mendapati, mangsa dikatakan sempat menghantar pesanan mesej menerusi aplikasi Whatsapp kepada rakannya beserta sekeping gambar ketika berada di balkoni.
“Malah, ibu mangsa juga memaklumkan mangsa turut menghantar pesanan mesej kepadanya untuk meminta maaf,” katanya ketika dihubungi, hari ini.-KOSMO! ONLINE