KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesan sindiket pemerdagangan orang melibatkan warga tempatan yang diperdaya dan dieksploitasi sebagai buruh paksa di negara Thailand, Laos, Myanmar dan Kemboja.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, bagi sepanjang tahun 2021 hingga Mac lalu, bahagian D3 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah menerima enam laporan berhubung kes berkenaan melibatkan 24 lelaki dan dua wanita.
“Semua mangsa itu memerlukan bantuan untuk diselamatkan daripada sindiket-sindiket berkenaan dan pihak polis percaya masih terdapat mangsa yang terkandas di bawah kawalan sindiket tersebut yang masih tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.
“Daripada maklumat yang diterima mendapati kesemua mangsa ini telah diperdaya dengan iklan peluang pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan di luar negara dengan tawaran gaji yang lumayan melalui Facebook,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, mangsa yang tertarik dengan tawaran itu akan berhubung dengan ejen melalui aplikasi WeChat, WhatsApp atau pesanan melalui Facebook.
“Selepas mangsa bersetuju dengan syarat-syarat pekerjaan termasuk gaji, waktu kerja dan lain-lain kebajikan, ejen menjanjikan akan mengurus serta menanggung segala kos perbelanjaan ke destinasi pekerjaan.
“Setelah mangsa tiba di negara tersebut, semua dokumen perjalanan mangsa termasuk telefon akan dirampas dan dimusnahkan malah pergerakan mereka dikawal dan mereka dikurung dengan kawalan ketat,” ujarnya.
Mangsa seterusnya dihantar ke destinasi tertentu seperti Preah Sihanouk, Kemboja, Mae Sot, Thailand, Vientiane, Laos dan Kayin State, Myanmar.
“Mangsa kemudiannya sedar pekerjaan sebenar dan merasakan telah diperdayakan setelah mereka dipaksa untuk melakukan kerja-kerja perjudian dalam talian, ‘scammer’, pelaburan palsu, perlombongan bitcoin dan lain-lain penipuan.
“Mangsa juga tidak dibenarkan untuk balik ke negara asal selagi tidak mencapai sasaran syarikat tersebut. Mereka juga diminta untuk membayar ganti rugi semua kos yang dianggarkan berjumlah RM30,000 hingga RM50,000 seorang,” tambahnya.
Katanya, sindiket itu merupakan satu rangkaian jenayah rentas sempadan dan mempunyai rangkaian luas.
“Kita akan bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Aseanapol untuk mengesan serta menyelamatkan mangsa. PDRM juga akan kolaborasi dengan Kementerian Luar Negeri bagi membantu percepat proses menyelamat mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE