PETALING JAYA – Kisah seorang pemuda, Fikri berjaya menjadi inspirasi buat orang ramai terutamanya bagi mereka yang memiliki penyakit ‘tourette syndrome’ sama sepertinya.
Sebagai makluman, ‘tourette syndrome’ merupakan masalah saraf yang dihadapi oleh pesakit dan menyebabkan mereka sering melakukan pergerakan berulang atau percakapan yang tidak terkawal.
Seperti perkongsian pemuda tersebut, walaupun mengalami masalah seperti itu, dia tetap berusaha melakukan sesuatu dengan baik dalam kehidupannya terutama melibatkan tuntutan wajib sebagai orang Islam.
Baru-baru ini, Fikri memuat naik video di laman TikToknya memaparkan bagaimana keadaannya yang mempunyai masalah sindrom tersebut berusaha dalam menyempurnakan ibadah solat.
Menerusi rakaman tersebut, ramai yang tersentuh melihat usahanya untuk kekal khusyuk walaupun menerima gangguan dari tindakannya sendiri secara tiba-tiba.
“Alhamdulillah adik, walaupun awak istimewa, tapi awak usaha untuk terus taat sebagai seorang hamba Allah, teruskan amal yang baik, moga diberikan kesihatan yang baik,” komen Siti Azura.
“Kita yang sempurna pun kadang kala gagal untuk solat, mungkin perlu diuji dahulu baru nak bertaubat, moga adik Fikri terus bersemangat dan terus kuat melawan penyakit yang ada,” ujar Amira.
Dalam pada itu, Fikri turut berkongsi pengalamannya apabila pernah dipandang pelik oleh jemaah lain sewaktu mengerjakan solat secara berjemaah di masjid kerana keadaannya yang tidak seperti orang normal lain.
Jelasnya, dia tetap cekal dalam apa jua yang ingin dilakukan kerana bagi Fikri, kekurangan pada dirinya adalah suatu keistimewaan yang tidak ada pada orang lain. – KOSMO! ONLINE