KUALA LANGAT -Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan meningkatkan pemantauan penjualan mercun dan bunga api secara haram di semua bazar Ramadan seluruh negara.
Tindakan penguatkuasaan menerusi Ops Mercun itu dilakukan susulan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bazar dan pembukaan semula sempadan negara hari ini.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, kebiasaannya, penyeludupan mercun dan bunga api tanpa permit itu menjadikan rumah kediaman sebagai tempat penyimpanan.
Katanya, bazar Ramadan pula antara lokasi yang merekodkan kes dan rampasan sebelum ini.
“Semua peniaga diingatkan supaya tidak terjebak dengan kegiatan penjualan bahan larangan itu biarpun hanya secara kecil-kecilan.
“Pasukan penguat kuasa kita di setiap negeri akan menjalankan pemeriksaan di bazar yang bakal beroperasi sepenuhnya Ahad ini,” katanya kepada pemberita selepas program Khidmat Bakti Masyarakat di Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Banting di sini, hari ini.