fbpx

Musim kebangkitan Scuderia Ferrari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ferrari kembali membuktikan kemampuan untuk mencabar kejuaraan musim ini selepas mempamerkan penguasaan dalam dua perlumbaan awal musim ini. - AFP

PERLUMBAAN pembukaan Formula Satu (F1) musim ini yang berlangsung di Litar Sakhir pada Grand Prix Bahrain 20 Mac lalu berakhir dengan emosi yang penuh sarat terutama buat Scuderia Ferrari apabila pelumba mereka, Charles Leclerc dan Carlos Sainz Jr. berjaya menaiki podium 1-2.

Selepas mengharungi 45 perlumbaan tanpa sebarang kemenangan, kejayaan itu menyaksikan penantian mereka seakan sudah menemui noktah dan buat kali pertamanya, pasukan yang berpangkalan di Maranello, Itali itu dianggap sebagai pencabar kejuaraan dalam tempoh tiga tahun.

Ferrari yang sudah bergelumang dengan perlumbaan F1 sejak lebih 60 tahun, mengharungi tempoh yang cukup sukar dalam sejarah penyertaan mereka selepas kali terakhir merangkul kejuaraan bagi kategori pemandu adalah pada 2007 menerusi Kimi Rakkonen, manakala kali terakhir menjuarai kategori pengeluar pada 2008.

Selepas itu, penguasaan mereka seakan terhakis dan lebih menyakitkan pada musim 2020 mereka hanya mampu meraih 131 mata untuk berada di kedudukan keenam kategori pengeluar di belakang Red Bull, Racing Point dan McLaren yang dianggap sebagai pasukan bebas bukan pengeluar enjin.

Perlumbaan kedua musim ini di Jeddah pada GP Arab Saudi seakan mengesahkan kebangkitan jenama berlogo ‘kuda hitam’ berkenaan, biarpun gagal mengulangi pencapaian di Sakhir, namun dua pemandu mereka masih mampu untuk berada di podium dengan meraih tempat kedua dan ketiga.

Ketika musim 2020 dianggap petaka besar buat Ferrari apabila menamatkan saingan dengan kutipan mata paling rendah dalam tempoh 40 tahun, rupa-rupanya ada rahmat di sebalik itu kerana peraturan F1 membenarkan pasukan yang berada di tangga keenam dan ke bawah untuk melakukan ujian aerodinamik jentera lebih banyak menerusi terowong angin dan Computational Fluid Dynamics (CFD) iaitu simulasi komputer untuk menentukan corak aliran bendalir.

Peluang untuk menghabiskan masa yang panjang bagi proses kajian dan pembangunan itu membolehkan para jurutera Ferrari menemui formula terbaik untuk menghasilkan jentera F1-75 yang lebih kompetitif, malah turut dianggap sebagai antara jentera yang paling ekstrem dari segi konsep.

Kemenangan 1-2 tempoh hari, membolehkan Ferrari memahami secara lebih komprehensif terhadap kemampuan jentera mereka dan Jeddah menyaksikan kedua-dua pelumba mereka mampu bersaing dalam keadaan jentera yang lebih stabil biarpun terlepas peluang untuk merangkul kemenangan.

Walaupun kejayaan di Bahrain dianggap sebagai sesuatu yang sukar digambarkan, para jurutera Ferrari tetap berwaspada kerana mereka percaya masih terlalu awal untuk menganggap pasukan sudah mencapai aspek kesempurnaan secara keseluruhan kerana beberapa perkara turut diambil kira.

Mereka percaya bahawa Litar Sakhir memiliki permukaan trek yang agak kasar, beberapa selekoh kelajuan rendah serta laluan lurusnya sangat sesuai dengan F1-75, namun 20 litar berbaki mungkin tidak mempunyai karakter sama yang diinginkan mereka menyebabkan cabaran selepas ini pastinya jauh lebih hebat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI