GUA MUSANG – Hasrat penduduk Gua Musang untuk menunaikan solat di Masjid Razaleigh di sini yang mirip Masjidil Haram, Mekah tercapai apabila ia dibuka secara rasmi hari ini.
Pembukaan masjid bernilai RM34 juta yang sudah siap dua tahun lalu itu terpaksa ditangguhkan sebelum ini berikutan penularan jangkitan Covid-19 ketika itu.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, pembukaan masjid itu dilihat dapat menampung bilangan jemaah sehingga kepada 4,000 orang.
“Ada kelengkapan yang belum sampai iaitu replika kaabah yang akan dipasang di masjid ini. Insya-Allah, ia akan dipasang dalam tempoh sebulan lagi.
“Rakyat gembira dengan pembukaan masjid ini dan kita berharap agar mereka mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan agar tidak berlaku penularan wabak Covid-19 di sini ,” katanya selepas Majlis Penyerahan Masjid Razaleigh dan Solat Jumaat pertama di masjid itu di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE