WASHINGTON – Seorang lelaki mendedahkan mengenai kecenderungannya untuk ‘jatuh cinta’ dengan belon sehingga membuatkannya menjalinkan hubungan istimewa dengan objek getah berwarna-warni itu, lapor laman berita Wion News semalam.
Dalam temu bual sebuah rancangan televisyen, lelaki yang dikenali sebagai Julius itu berkata, dia bukan sahaja tertarik kepada belon, bahkan mempunyai ketagihan dari segi seksual terhadap objek itu.
Menurutnya, belon-belon yang cantik, lembut dan halus telah menjadi kekasihnya.
“Saya akan memeluk dan mencium belon itu dan berasa seperti berada di syurga,” ujarnya.
Tambah Julius, dia mempunyai hubungan istimewa dengan setiap satu daripada 50,000 belon di rumahnya.
“Saya tahu belon bukanlah benda hidup, namun kadangkala saya terfikir, adakah rasa cinta saya padanya telah membuatkan objek itu menjadi ‘hidup’?” katanya.
Minat mendalam Julius kepada belon bermula ketika dia berumur empat tahun apabila dia dimasukkan ke hospital. Ibunya dikatakan menghadiahkannya dengan belon berwarna biru dan sejak itu, dia mencintai objek tersebut. – AGENSI