PORT DICKSON – Cuaca berawan dan tidak memenuhi kriteria Imkanur Rukyah Malaysia menyukarkan proses cerapan anak bulan Ramadan yang dilakukan di Balai Cerap Telok Kemang di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Rukyah Hilal Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, bagaimanapun, cerapan akan diteruskan esok di lokasi yang sama.
“Aktiviti cerapan hilal di Port Dickson pada hari ini bermula pada pukul 7.05 malam dan berakhir 7.31 malam. Hasil cerapan hilal Ramadan pada hari ini adalah tidak kelihatan kerana berawan.
“Bagaimanapun, awal bulan Ramadan adalah tertakluk kepada pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,” katanya kepada pemberita pada Majlis Cerapan Ramadan, Balai Cerap Telok Kemang, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Dr. Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir, Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk Mohd. Zaidi Ramli dan Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan, Datuk Abbas Nordin.
Penyimpan Mohon Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad sebentar tadi mengumumkan umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa Ahad ini. – KOSMO! ONLINE.