BEIJING – Pegawai-pegawai di China memaklumkan bahawa kapal persiaran elektrik terbesar dunia, Yangtze River Three Gorges 1 melakukan pelayaran sulungnya di bandar Yichang, wilayah Hubei pada Selasa lalu, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Menurut akhbar pemerintah, Global Times, kapal itu mempunyai kapasiti bateri terbesar berkuasa 7,500 kilowatt jam (kWh) atau bersamaan kapasiti bateri lebih 100 kenderaan elektrik.
Kapal itu telah melakukan pelayaran ujian pada Januari lalu dan kembali ke pelabuhan asalnya di Yichang.
Kapal ‘sifar emisi’ itu dikuasakan oleh kuasa hidro bersih yang dijana oleh Empangan Tiga Gaung, lapor akhbar tempatan, China Daily. China ketika ini cuba memanfaatkan tenaga bersih dan sistem pengangkutan hijau.
Yangtze River Three Gorges 1 digunakan sebagai ekstravaganza pelancongan di Sungai Yangtze. Kapal yang memiliki panjang 100 meter dan lebar 16 meter itu boleh membawa seramai 1,300 penumpang.
Ia dibina oleh syarikat pembekal kuasa Yangtze di bawah perbadanan China Three Gorges Corporation dan kumpulan pengangkutan, Hubei Yichang dengan sokongan pemerintah China.
Yangtze River Three Gorges 1 boleh berlayar sejauh 100 kilometer dengan sekali caj. Kos pembinaannya adalah sekitar AS$23.5 juta (RM98.7 juta). Kapal itu tidak menyebabkan pencemaran dan mesra bunyi kerana lebih senyap berbanding kapal enjin diesel.
Kapal elektrik itu juga mempunyai kawalan automatik dan sistem pengurusan kuasa pintar. – Agensi