MERDEKA! Itu mungkin antara kalimah paling sesuai bagi menggambarkan perasaan rata-rata rakyat ketika ini apabila pintu sempadan negara mula dibuka secara rasminya hari ini selepas hampir dua tahun kita ‘terkurung’ di tanah sendiri.
Pastinya, kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang diputuskan seiring dengan peralihan negara ke fasa endemik turut membuatkan ramai rakyat tidak sabar untuk ‘mencium’ tanah negeri orang.
Jika dilihat di pintu sempadan utara negara, mungkin pulut ayam bersama kerabu betik muda sudah melambai-lambai, di pintu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pula, barisan pesawat sudah bersedia.
Apa yang dapat dirumuskan, selama hampir tiga tahun hidup bersama Covid-19, kepatuhan rakyat Malaysia terhadap SOP begitu membanggakan, pemakaian pelitup muka dan jarak sosial sentiasa dijaga.
Bagaimanapun, antara persoalan yang timbul adakah disiplin itu dapat dikekalkan apabila kita berada di tanah orang memandangkan ada negara sudah melonggarkan SOP termasuk tidak perlu pakai pelitup muka.
Dalam konteks ini, hak untuk memakai pelitup muka contohnya apabila berada di negara yang sudah melonggarkan SOP merupakan pilihan peribadi, namun tindakan itu boleh mengundang padah termasuk membawa virus pulang ke tanah air.
Adakah kita mahu menjadi rakyat yang tidak bertanggungjawab kepada negara persis kisah ‘Malim Kundang’ yang derhaka kepada ibunya hingga membawa padah dalam kehidupan figura legenda itu.
Susulan itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar menasihatkan orang ramai yang bakal berlibur ke luar negara untuk terus mematuhi SOP seperti di Malaysia.
“Meskipun akan bercuti ke negara yang telah melonggarkan SOP seperti tidak perlu memakai pelitup muka, apa kata kita terus menjaga SOP seperti di Malaysia demi keselamatan bersama.
“Rakyat telah hidup bersama SOP hampir dua tahun, jadi walau di mana kita berada, teruskan budaya itu dan secara tidak langsung mampu melindungi negara daripada situasi lonjakan kes secara mendadak,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Katanya, rakyat yang akan bercuti ke luar negara juga perlu mengambil pelbagai langkah pengawalan termasuk sentiasa menjaga penjarakan fizikal selain membuat ujian calitan pantas Covid-19.
“Kalau kita lihat rakyat China dan Jepun, mereka sentiasa memakai pelitup muka dalam kehidupan seharian. Ia sudah menjadi budaya, jadi itu juga harus dipraktikkan penduduk Malaysia,” ujarnya.
Kesimpulannya di sini, bawalah budaya Malaysia apabila berada di bumi orang, jangan ‘derhaka’ kepada SOP ditetapkan kerajaan walaupun kita berpijak di ruang langit berbeza.
Buat semua bakal pengembara, selamat bercuti dan terus jaga SOP, sentiasa terapkan budaya kita jaga kita.