PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat serta ribut petir dijangka berlaku di enam negeri pada petang ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan di laman Facebook hari ini berkata, amaran hujan lebat dan ribut petir telah dikeluarkan melibatkan negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Sarawak dan Sabah.
“Hujan lebat serta ribut petir dilihat tertumpu di Baling dan Kulim negeri Kedah, manakala dua daerah di Pulau Pinang iaitu Barat Daya dan Timur Laut.
“Ramalan hujan lebat dan ribut petir juga dijangka berlaku di hampir semua daerah di Perak serta kawasan Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Raub, Pahang,” katanya di sini hari ini.
Tambah MetMalaysia, bagi negeri Sarawak, antara kawasan yang dijangka mengalami cuaca buruk yang sama adalah Kuching (Lundu), Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang
“Di Sabah melibatkan sekitar Pedalaman (Sipitang, Beaufort dan Tambunan) dan Pantai Barat (Papar, Penampang, Tuaran, Ranau dan Kota Belud).
“Orang ramai yang berada di lokasi berkenaan dinasihatkan agar berhati-hati berikutan cuaca yang tidak menentu ketika ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE