WASHINGTON – Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) memaklumkan akan mengenakan sekatan baharu terhadap sektor aeroangkasa, marin dan elektronik Rusia dalam usaha berterusan untuk menyekat pembiayaan kos perang Moscow, lapor United Press International (UPI) semalam.
Jabatan itu menyenaraikan 21 entiti dan 13 individu yang memainkan peranan penting dalam jentera perang Rusia sebagai sebahagian daripada tindakan keras terhadap syarikat dan rangkaian teknologi Kremlin.
“Rusia bukan sahaja melanggar kedaulatan Ukraine dengan menceroboh tanpa provokasi tetapi juga meningkatkan serangan dengan menyerang orang awam dan penempatan penduduk.
“Kami akan terus menyasarkan jentera perang Putin dengan sekatan dari setiap sudut sehingga perang yang tidak masuk akal ini berakhir,’’ kata Setiausaha Perbendaharaan, Janet L. Yellen.
Menurut jabatan itu, langkah yang diputuskan kelmarin itu adalah sebahagian daripada tindak balas komprehensif pentadbiran AS untuk menyekat akses Rusia kepada sumber dan sektor ekonomi yang penting dalam membekalkan dan membiayai kos perang.
Sasaran sekatan terbaharu itu termasuk sebuah syarikat yang mengeksport lebih 50 peratus barangan mikroelektronik Rusia dan merupakan pembuat cip terbesar negara itu.
Tambah jabatan itu, syarikat Serniya yang berpangkalan di Moscow disekat kerana terlibat dengan aktiviti berkaitan Perkhidmatan Perisikan Rusia. – Agensi