LIVERPOOL – Bekas pemain Liverpool, Stan Collymore menasihatkan pemain tengah Everton, Dele Alli supaya mengumumkan persaraannya daripada dunia bola sepak selepas dia dilihat tidak lagi berminat untuk menjadi pemain.
Pemain berusia 25 tahun itu masih belum memulakan aksi selepas Everton dibimbing Frank Lampard dan terus gagal untuk menjadi pemain berprestasi tinggi seperti yang ditunjukkan ketika berada di Tottenham Hotspur bersama Mauricio Pochettino tiga tahun lalu.
“Dale perlu menjawab beberapa soalan yang serius untuk dirinya sendiri. Adakah dia masih berminat untuk menjadi seorang pemain profesional?
“Jika dia tidak lagi berminat, pergi dan cari sesuatu yang anda minati dan jangan menjadi seperti seorang ahli sarkas setiap kali turun beraksi.
“Dia telah menipu peminat, kelab dan pengurus pasukannya sendiri. Dia yang dianggap antara pemain tengah terbaik Eropah telah ‘hilang’. Orang bercakap adakah dia sekarang masih seorang pemain di Liga Perdana Inggeris. Hanya Dale yang mampu menjawabnya.
“Pandanglah cermin dan jawablah dengan jujur. Jangan teruskannya untuk tempoh lima tahun lagi atau lebih kerana ia adalah ‘jenayah’ terhadap bakat yang anda miliki,” jelasnya.
Alli meninggalkan Spurs pada Januari lalu untuk menyertai Everton dengan kontrak sehingga 2024, namun impak yang diberikan untuk pasukan itu masih belum kelihatan sehinggakan The Toffees kini sedang bergelut di kelompok bawahan liga. – AGENSI