fbpx

500 keluarga terseksa hidu bau busuk selama 22 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nassir menunjukkan loji kumbahan yang mengalami kerosakan di Taman Sinaran Kempas, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Meskipun sudah kerap dibaiki dan banyak laporan dibuat kepada pihak berwajib, namun masalah kerosakan loji kumbahan yang dikesan sejak 22 tahun lalu di Taman Sinaran Kempas di sini bagaikan tiada kesudahan.

Keadaan itu menyebabkan kira-kira 500 keluarga di kawasan perumahan itu hidup terseksa apabila mereka terpaksa menghidu bau busuk.

Pengerusi Jawatankuasa Komuniti Taman Sinaran Kempas, Mohd. Nassir Ahmad berkata, masalah yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan sudah berlarutan sejak tahun 2000.

Katanya, loji kumbahan itu mula mengalami kerosakan dan tidak lagi berfungsi sejak penduduk dipindahkan ke kawasan berkenaan.

“Pada awalnya, penduduk bersetuju untuk mengumpul duit bagi menampung kerosakan loji kumbahan tersebut, namun perkara itu hanya bertahan sehingga tempoh tiga tahun.

“Loji kumbahan berkenaan terlalu kerap mengalami kerosakan sehingga penduduk sudah berputus asa dan tidak mahu lagi meneruskan kutipan wang bagi menyelenggara loji kumbahan ini.

“Sejak itu, kawasan perumahan ini berbau busuk, lebih-lebih lagi selepas hujan. Bau busuk itu datang dari tandas kerana aliran kumbahan yang tidak dapat mengalir terus ke loji kerana sistem loji itu yang rosak,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mohd. Nassir memberitahu, perumahan berkenaan adalah kediaman transit yang dibangunkan atas tanah milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) untuk penduduk setinggan tepi rel kereta api yang dipindahkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

“Rumah, fasiliti dan kemudahan yang dibangunkan dise­rahkan terus kepada komuniti penduduk. Jadi penyelenggaraan loji kumbahan ini tidak berada di bawah tanggungjawab mana-mana pihak.

“Namun begitu, penduduk tidak mempunyai dana yang besar untuk membaiki dan menyelenggara loji kumbanan itu kerana ia memerlukan kos yang tinggi.

“Sekarang, loji ini langsung tidak berfungsi, manakala kawasan sekitarnya juga sudah ditutup dengan rumput dan lalang,” ujarnya.

Mohd. Nassir juga memberitahu, permasalahan yang dihadapi mereka telah diajukan kepada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan Pusat.

Katanya, penduduk telah membuat aduan dan surat meminta bantuan daripada kerajaan negeri dan juga kementerian berkaitan mengenai masalah berkenaan, tetapi tiada tindakan lanjut.

“Sehubungan itu, kami memohon bantuan kerajaan negeri dan agensi berkaitan untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk perumahan ini kerana mereka sudah tidak dapat menanggung lagi bau busuk,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd. Aziz memaklumkan, pihaknya sudah membuat lawatan ke loji kumbahan berkenaan dan akan membawa perkara tersebut kepada agensi kerajaan negeri berkaitan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI