BERSEMPENA kehadiran Ramadan, saluran stesen televisyen swasta percuma (free-to-air) Awesome TV tampil dengan tema istimewa penuh bermakna, Ikhlaskan Jiwa,
Dekat Dengan-Nya bagi melatari Kempen Ramadan 2022 tahun ini.
Bersandarkan inspirasi tersebut, pengisian komprehensif sepanjang bulan mulia ini akan dizahirkan menerusi himpunan lebih 50 program menarik pelbagai genre yang bakal menanti penonton.
Bermula 3 April, para penonton akan dihidangkan dengan seleksi kandungan terhebat merangkumi genre keagamaan, telefilem, drama bersiri, filem dan antarabangsa, naskhah throwback klasik malar segar, komedi, variasi dan bual bicara menerusi saluran Astro 123 dan MyTV 112.
Ramadan endemik
Mengulas lanjut mengenai pengisian kempen Ramadan tahun ini, Pengarah Unit Kandungan stesen TV berkenaan, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli berkata, Ramadan kali ini lebih bermakna selepas dua tahun negara dihambat permasalahan Covid-19.
“Selepas dua tahun bergelut dengan pandemik Covid-19, kami menyambut baik pengumuman peralihan fasa endemik bermula 1 April ini yang dilihat dapat memakmurkan semula tradisi sambutan bulan penuh barakah ini dengan pelbagai aktiviti ibadah,” katanya.
Justeru, tema Ikhlaskan Jiwa, Dekat Dengan-Nya dipilih khas untuk menerajui Kempen Ramadan Awesome TV 2022 bagi membawa pengertian yang sungguh bermakna dan menyuntik inspirasi.
Awesome TV juga tidak lupa membawa amanat yang sama program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Permaidani Masjidil Haram
Sebagai simbolik tema kempen tahun ini, Awesome menyediakan sebanyak 15 unit permaidani eksklusif dari Masjidil Haram, Mekah untuk dihadiahkan kepada 15 buah masjid terpilih di sekitar Lembah Klang.
Awesome TV juga menampilkan rangkaian drama-drama terhebat khas untuk peminat drama Melayu tempatan.
Antara yang pasti menjadi pilihan penonton semestinya naskhah Antara Ikhlas dan Kaca dibintangi Luqman Hafidz, Wanna Ali, Aleza Shadan dan Zain Hamid yang bakal menghiasi slot Dramatix pada setiap hari Isnin hingga Jumaat pukul 7 malam.
Runtun jiwa
Sementara itu, drama Sudin Dah Kaya! yang menampilkan figura rock tanah air, Datuk Awie sebagai tonggak utama bersama Zalif Sidek, Umar Dzariff dan Marissa Yasmin pula bakal mengambil alih slot Dramedi setiap hari Khamis hingga Ahad pada pukul 9.30 malam.
Sediakan tisu kerana drama-drama meruntun jiwa seperti Permintaan Terakhir Abah, Jeman dan Hud akan turut menjadi tumpuan ramai Ramadan pertama Awesome TV kali ini.
Menjadi paparan pilihan penonton juga adalah seleksi hebat filem-filem dari Hollywood, Bollywood dan Melayu klasik merupakan daya menarik utama di Awesome TV selama ini.