KULAI – Johor dijangka akan menerima kehadiran kira-kira lima juta pelancong asing pada tahun ini susulan pembukaan pintu sempadan antarabangsa sepenuhnya dengan prosedur operasi standard (SOP) yang longgar.
Pengarah Tourism Johor Suhairi Hashim berkata, kadar itu adalah 50 peratus daripada jumlah pengembara luar negara yang diterima sebelum kedatangan pandemik Covid-19 iaitu pada 2019.
Katanya, kemasukan pelancong asing itu dijangka tiba ke negeri ini melalui laluan udara, jalan darat melalui pintu sempadan Johor-Singapura mahupun dengan menaiki feri dan bot dari Indonesia.
“Bagi menyambut kehadiran pengunjung, Johor sudah melakukan persiapan membabitkan pemain industri dengan memberi latihan, galakan dan sebagainya untuk terus berdaya saing.
“Kita turut menggalakkan industri baharu dikenal pasti untuk membolehkan pasaran baharu dibuka malah turut mempromosikan industri inap desa di negeri ini.
“Di Johor, terdapat 27 perkampungan yang telah kita majukan untuk dijadikan projek rintis kemajuan inap desa di negeri ini. Kita tidak mahu industri ketinggalan menerima limpahan pengunjung ke negeri ini,” katanya selepas menyambut penerbangan antarabangsa pertama yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE