NEW DELHI – Seorang lelaki di India mendakwa dia mampu hidup sihat tanpa mengalami sebarang masalah kesihatan meskipun mengamalkan tabiat makan batu selama 12 tahun, lapor program berita Liputan6 semalam.
Santosh Lakra yang berasal dari negeri Chhattisgarh berkata, dia menelan batu kerikil berukuran 1 hingga 2 sentimeter tanpa mengunyah terlebih dahulu.
Menurut stesen penyiaran News18, Santosh mengakui dia berasa kenyang selepas memakan batu.
“Saya tidak perlu makan apa-apa lagi selepas menelan batu. Ia akan membuatkan saya berasa kenyang dan amat mudah dicerna oleh perut,” katanya.
Tambah Santosh, amalan memakan batu itu dilakukan sebagai ritual untuk mengubati pesakit. Ini kerana, dia dianggap sebagai seseorang yang mampu menyembuhkan penyakit fizikal dan mental.
Dalam upacara yang dilakukan, Santosh akan duduk berlutut dan berdoa sambil meletakkan ketulan batu pada bahagian bawah kedua-dua lututnya.
Santosh berkata, dia mampu menyerap kesedihan dan penderitaan pesakitnya selepas menelan batu-batu tersebut.
Menurut lelaki itu, meskipun telah mengamalkan tabiat itu selama 12 tahun, dia tidak pernah mengalami sebarang masalah pencernaan. Namun, dia juga tidak pernah bertemu doktor perubatan bagi memeriksa keadaan dirinya. – Agensi