PETALING JAYA – Penyanyi nasyid Yassin Sulaiman yang disyaki memiliki dadah dan menanam pokok ganja di sebuah kondominium di Kota Damansara, di sini tiba di Kompleks mahkamah untuk didakwa.
Yasin yang memakai t-shirt berkolar hitam tiba di mahkamah pada kira-kira pukul 10 pagi diiringi anggota polis.
Difahamkan dalam prosiding pertuduhan hari ini, Yasin yang berusia 47 tahun akan dituduh mengikut Seksyen 39B dan 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana setiap satu daripadanya didakwa masing-masing di Mahkamah Majistret dan Sesyen.
Pada 25 Mac lalu Kosmo! Online melaporkan polis menahan penyanyi nasyid kerana disyaki memiliki dadah dan menanam pokok ganja di sebuah kondominium di Kota Damansara, di sini.
Penahanan dibuat terhadap suspek yang berusia 47 tahun pada pukul 5.30 petang itu selepas bertindak atas maklumat, polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menemui satu bekas plastik berwarna biru atau hitam di dalamnya terdapat dua plastik lutsinar berisi daun kering disyaki ganja seberat 214 gram di dalam rumah berkenaan.
Nilai dadah yang dirampas dianggarkan RM10,700 dan hasil pemeriksaan lanjut di bahagian sebelah dapur menjumpai satu almari dan di dalamnya terdapat tiga pokok disyaki pokok ganja.
“Turut dirampas satu botol cecair pemusnah serangga, alat penyukat suhu, dua lampu LED serta satu alat menyiram tanaman,” katanya.
Pemeriksaan di dalam bilik pertama menjumpai 13 pokok dalam pasu disyaki pokok ganja selain satu pokok tumbuhan sama di balkoni.
Pada masa sama, sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Wish dan wang tunai turut disita. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis THC.
Suspek mempunyai sejarah terlibat penagihan dadah lebih kurang 10 tahun dan menanam pokok ganja selama dua bulan.– KOSMO! ONLINE