PETALING JAYA – Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika membeli ubat paracetamol terutamanya di kedai runcit kerana terdapat ubat palsu.
Perkara itu didedahkan oleh seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Rashidah Ahmad selepas dia mendakwa terbeli ubat palsu berkenaan baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, Rashidah berkata, dia terbeli ubat palsu berkenaan di sebuah kedai Acheh selepas kebanyakan kedai serbaneka kehabisan stok ubatan tersebut.
“Sekali mula pegang dah rasa pelik sebab packaging (bungkusan) dia tak kemas langsung, tak macam selalu.
“Bila bukak, pegang tablet (ubat) tu dah rasa tak lain sebab dia berdebu, tengok bentuk dia macam guna acuan cincai- cincai,”katanya.
Mengulas lanjut Rashidah berkata, dia kemudian mengambil gambar ubat berkenaan sebelum merujuk tentang keasliannya kepada seorang rakannya yang bekerja di syarikat pengeluar produk itu.
“Dia (rakan) kata jangan makan sebab fake (palsu) ubat ini, nasib baik saya tak makan. Hati-hati semua, sekarang banyak barang palsu sehingga ke ubat-ubatan pun mereka sanggup demi mengaut keuntungan,” jelasnya.
Susulan perkongsian itu, beberapa pengguna Facebook turut berkongsi kisah sama terbeli ubat paracetamol palsu.
“Saya pernah makan dua biji, masa buka memang rasa lain kenapa susah nak buka, lepas makan tu sakit kepala masih tak hilang,”kongsi Mira Ahmad.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Ikram Mohd.
“Memang pernah terbeli kat kedai Acheh, macam tepung hancur bila masuk mulut. Selepas itu tak beli lagi kat kedai Acheh,” katanya.-KOSMO! ONLINE