PADANG BESAR – Polis terus memperkukuhkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand susulan pembukaan sempadan negara di pintu masuk antarabangsa di Wang Kelian dekat sini bermula esok.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, kira-kira 50 pegawai dan anggota akan ditugaskan membuat kawalan di sekitar kawasan tersebut.
Katanya, Pasukan Gerakan Am (PGA) turut menempatkan tambahan 50 anggota daripada Batalion 3.
“Tinjauan udara mendapati terdapat deretan kenderaan sedia ada sejak beberapa lalu di sebelah Wang Prachan, Thailand yang bersempadan dengan Wang Kelian di negara ini.
“Kita tidak pasti sama ada keadaan di sebelah sana (Thailand) memang begitu atau mereka sedang menanti untuk memasuki negara ini,” katanya ketika ditemui di pintu sempadan Pos Imigresen Wang Kelian di sini hari ini.
Sehubungan itu, kata Surina, pihaknya akan terus memperkukuhkan kawalan keselamatan bagi memastikan perkara yang tidak diingini berlaku.
Katanya, pihak berkuasa juga telah bersiap sedia menghadapi apa jua situasi dan dalam keadaan bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan dengan kawalan 24 jam.
“Walaupun Perlis negeri yang kecil, namun memiliki garisan sempadan antarabangsa darat dan laut yang luas.
“Sempadan Malaysia-Thailand kira-kira 106 kilometer (km) dengan kawasan berpagar kira-kira 75km manakala selebihnya tidak berpagar, jadi kita terpaksa membuat kawalan sebaik mungkin,” katanya. -KOSMO! ONLINE