PARIT – Kerajaan negeri Perak menafikan karenah birokrasi serta gagal menyediakan kawasan baharu pertanian selain ghairah menukar status tanah kepada projek pembangunan hartanah.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dakwaan yang dibuat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu sekiranya berlaku di Perak sebagai tidak tepat.
Menurut beliau, tanah pertanian yang digunakan bagi tujuan pembangunan seperti lebuh raya turut digantikan dengan jumlah yang sama.
“Contoh projek ikan Arowana di Kerian yang menggunakan sawah padi digantikan semula oleh kerajaan negeri bagi memastikan tanaman padi mencukupi.
“Maknanya kita ganti sebab ini keselamatan makanan, berapa pun jumlah yang terpaksa (digantikan) dan kita bukan tiba-tiba tukarkan (status tanah),” ujarnya ketika ditemui pada program bantuan orang kelainan upaya di sini pagi tadi.
Tambahnya, tanah pertanian di Perak masih mencukupi bagi tujuan pertanian dan hanya tinggal untuk dilaksanakan atau tidak. – KOSMO ONLINE