JOHOR BAHRU – Terminal pengangkutan awam Larkin Sentral di sini telah bersedia untuk menerima kehadiran pengunjung khususnya warga Singapura sempena pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura, esok.
Pengurus Larkin Sentral, Mohd. Helmi Mohd. Affendi berkata, persediaan telah dibuat membabitkan beberapa aspek termasuklah pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP).
Katanya, dalam tempoh seminggu pertama ini, seramai 30 anggota polis akan ditempatkan di sekitar premis berkenaan.
“Ekoran pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura, kita jangka akan ada seramai 25,000 pengunjung sehari yang datang.
“Manakala jumlah jualan tiket bas ekpres pula dijangka sebanyak 7,000 tiket sehari,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di premis berkenaan, di sini hari ini.
Tambah beliau, pembukaan semula sempadan itu bakal memulihkan semula ekonomi peniaga di premis berkenaan yang telah terkesan teruk sejak dua tahun lalu. -KOSMO! ONLINE