YAN – Kesukaran hidup selain menderita dengan pelbagai ujian kesihatan bukanlah alasan untuk sepasang suami isteri warga emas dari Rancangan Perumahan Awam (RPA) Dulang di sini menikmati kehidupan bahagia sebagai sebuah keluarga.
Ahmad@Saad Mat Isa, 76, berkata, dia kini memikul amanah untuk menjaga isterinya, Bunga Mat Isa, 60, yang mengalami penyakit lumpuh, sekali pun dia sendiri mengalami masalah penglihatan.
Menurut Ahmad, isterinya tidak boleh lagi bergerak aktif seperti orang lain selepas lumpuh pada bahagian pinggang hingga kaki akibat diserang angin ahmar kira-kira empat bulan lalu.
“Saya menguruskan isteri sepenuhnya termasuk memandikannya di tempat dia berada kerana saya tiada lagi kudrat untuk mengangkatnya ke bilik air.
“Walaupun tangannya boleh digerakkan, namun dia tetap memerlukan bantuan setiap kali mahu menukar lampin pakai buang. Sebab itulah saya perlu ada sentiasa di sisinya,” kata Ahmad ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.
Lebih menyedihkan kata beliau, keluarga kecilnya sekali lagi diuji apabila isterinya dipercayai diserang penyakit misteri menyebabkan dia tidak boleh bercakap.
“Saya hairan apabila lidahnya seolah-olah pendek dan langsung tidak boleh bertutur berbanding sebelum ini.
“Masalahnya, kesihatan saya juga tiba-tiba merosot seperti sering pening kerana tekanan darah tinggi selepas terpaksa berjaga malam untuk menjaga isteri,” katanya yang sebelum ini bekerja sebagai buruh kasar.
Tambah Ahmad, penglihatannya juga semakin kabur menyebabkan dia tidak dapat bekerja dan tugas mencari pendapatan kini dipikul anak lelakiny,a Mohd. Ridzuwan,22, yang tinggal bersamanya.
“Anak lelaki saya terpaksa bekerja seharian sebagai buruh kasar di sebuah kilang memproses baja kerana hanya dia tempat kami berharap.
“Selain perlu menjelaskan bayaran bulanan rumah, wang gaji anak digunakan untuk membeli lampin pakai buang, ubat isteri serta perbelanjaan makan minum kami sekeluarga,” katanya.
Ujarnya, dia menerima wang zakat daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah sebanyak RM200 setiap bulan.
“Saya bersyukur kerana anak perempuan saya, Che Tom, 43, yang tinggal berasingan juga banyak membantu dengan menghantar makanan untuk mereka sekeluarga setiap hari,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0210429897533 atas nama Che Tom atau menghubunginya di talian 012-535 8962. – KOSMO! ONLINE