fbpx

Sasaran awal Malaysia peroleh 79 pingat Sukan SEA di Hanoi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sasaran awal Malaysia adalah memperoleh 31 pingat emas, 19 pingat perak dan 29 pingat gangsa pada Sukan SEA yang akan berlangsung di Hanoi, Vietnam.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, sasaran awal ditetapkan bersama Persatuan Sukan Kebangsaan itu berdasarkan perkembangan dan perbandingan prestasi semasa atlet negara.

“Pengukuran prestasi kontinjen negara bagaimanapun tidak boleh bersandarkan kepada pingat dipertandingkan kerana setiap tuan rumah Sukan SEA akan menganjurkan acara sukan yang memberi pulangan pingat terbanyak kepada tuan rumah.

“Sukan dan acara kekuatan Malaysia yang tidak akan dipertandingkan adalah basikal trek, bowling padang, pelayaran, hoki dan skuasy,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya mengenai jumlah pingat yang disasarkan Malaysia menjelang Sukan SEA Hanoi pada Mei ini.

Terdahulu, Lian Ker menjelaskan, sasaran akhir kontinjen atlet negara bagi merangkul pingat dalam Sukan SEA di Hanoi akan diperhalusi semula menerusi bengkel penetapan sasaran akhir yang dijadualkan pertengahan April ini.

Menurut beliau, bengkel itu melibatkan beberapa pihak berkaitan antaranya Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan ketua jurulatih serta pengurus sukan.

“Sasaran akhir kontinjen Malaysia di Sukan SEA di Hanoi, Vietnam akan diumumkan secara rasmi oleh Menteri Belia dan Sukan dalam majlis penyerahan Jalur Gemilang pada 25 April nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI