‘DUNIA tempat berpenat’, begitulah ungkapan yang sering didengari dan skrip itu sentiasa dimainkan dalam masyarakat bagi memastikan tanggungjawab serta produktiviti kehidupan sentiasa terjaga.
Ini secara tidak langsung boleh dikaitkan dengan sistem ekonomi kapitalisme yang memaksa masyarakat untuk bekerja keras demi sesuap nasi.
Ia juga bagi memastikan keuntungan syarikat dapat diraih pada kadar maksimum.
Namun, sistem kapitalisme menjadi lompong akibat kelemahannya yang terdedah dengan eksploitasi dan pengagihan harta kekayaan tidak sama rata sehingga wujud konflik serta perjuangan kelas sosial berbeza.
Selain itu, sistem ini juga menyebabkan manusia berlumba-lumba mencari rezeki untuk menyara diri dan keluarga sehingga tidak mempedulikan faktor kesihatan masing-masing.
Menurut data dikeluarkan Kisi’s Global Work-Life Balance Index pada tahun 2021, kajian itu menunjukkan Malaysia berada di tempat kelima dalam Asia yang menjadi antara negara yang rakyatnya paling kuat dikerah untuk bekerja.
Ini sungguh ironi dan bertepatan dengan kajian kerana masyarakat kita apabila ditimpa masalah kesihatan akan cuba sedaya upaya untuk kembali sihat supaya dapat berkhidmat seperti biasa.
Naratif ini dapat dilihat dalam kalangan golongan di luar sana yang mempunyai masalah kesihatan seperti angin ahmar atau strok.
Masalah kesihatan terbabit seterusnya akan memberi kesan kepada produktiviti individu itu dalam kehidupan berbanding ketika bekerja dalam keadaan masih sihat.
Hasil kajian dijalankan Monitoring Stroke Burden in Malaysia, ia menganggarkan sebanyak 150 dalam 100,000 penduduk Malaysia mengalami penyakit strok dengan purata kemasukan harian ke hospital sebanyak 92 kes.
Kajian ini juga melaporkan sebanyak 40 peratus daripada pesakit strok ini di bawah umur 60 tahun dan mencatatkan hampir 32 kematian setiap hari.
Malah, kajian juga menunjukkan mereka yang bekerja lebih masa akan mempunyai rentak jantung yang tidak normal sehingga terdedah kepada risiko strok.
Tekanan turut menjadi faktor penyumbang kepada gangguan kardiovaskular sehingga menyukarkan jantung mengepam darah keseluruh tubuh.
Justeru itu, kesukaran yang dialami golongan ini patut diambil iktibar individu dalam masyarakat supaya sentiasa menjaga kesihatan kerana kebanyakan kes strok berlaku akibat kuat bekerja.
Ketua Jabatan Rehabilitasi Perkeso, Julianah Salleh berkata, individu yang mengalami kelumpuhan akan menjalani terapi selama tiga hingga enam bulan.
“Kebanyakan pesakit merasakan mereka sudah tidak mampu untuk berfungsi sebagai ahli dalam masyarakat.
“Namun semangat dipaparkan dalam usaha untuk sihat kembali sehingga mampu menjalani kehidupan seperti biasa perlu dicontohi,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE