fbpx

Restoran hanya mampu beroperasi lapan jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG ramai khususnya golongan bujang dijangka memilih bersahur di kedai makan selepas kerajaan melonggarkan waktu operasi kedai makan bermula esok. – GAMBAR HIASAN

GEORGE TOWN – Pengusaha restoran nasi kandar di Pulau Mutiara, memilih untuk kekal beroperasi lapan jam setiap hari meskipun pengoperasian 24 jam bagi semua premis makanan te­lah dibenarkan bermula esok.

Rata-rata mereka memberi alasan belum bersedia membuat perubahan semula masa operasi perniagaan seperti sebelum ini selain tidak sanggup berdepan dengan masalah tenaga kerja.

Pengusaha Restoran Nasi Kandar Sulaiman, Mohamed Imran Mohamed Yasin, berkata, dia mengambil keputusan untuk mengekalkan masa berniaga bermula pukul 6.30 pagi hingga 2.30 petang setiap hari, manakala bulan Ramadan hanya dibuka pada pukul 1 petang hingga 6 pagi.

“Selain berdepan isu kekura­ngan pekerja terutama warganegara India, kami juga tidak sanggup terbeban dengan kenaikan harga barangan keperluan sehingga mencecah 50 peratus kini.

“Daripada sembilan pekerja kini menjadi empat orang termasuk saya sendiri. Kami juga mahu mengelak berlaku pembaziran penggunaan bekalan elektrik dan air yang tinggi sekiranya beroperasi 24 jam.

“Bukan setakat itu, kenaikan harga barang seperti ayam, ikan, telur, daging lembu dan kambing serta sayur-sayuran juga menjadi alasan untuk kami kekal berope­rasi selama lapan sahaja,” kata­nya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Ujarnya, meskipun berdepan dengan banyak kenaikan harga barangan tetapi restorannya masih mengekalkan harga lama seperti empat tahun lalu.

Pengurus Restoran Nasi Kandar Raffe di Pulau Tikus, Mohamed Firdaus Mohamed Raffe berkata, pihaknya juga belum bersedia membuka operasi perniagaan untuk tempoh 24 jam.

“Masalah kekurangan pekerja terutama warga asing menjadi faktor utama kami tidak dapat mengubah masa perniagaan se­perti sebelum ini.

“Dulu ada seramai 17 pekerja termasuk warganegara India tetapi kini hanya terdapat lapan orang kakitangan termasuk pekerja tempatan.

“Harap kerajaan memudahkan proses kemasukan pekerja warga asing ke Malaysia dalam tempoh segera,” jelasnya yang memutuskan untuk kekal sementara waktu perniagaan dari pukul 7 pagi hingga 11 malam kecuali pada Ramadan iaitu pukul 12 tengah hari hingga 5 pagi.

RATA-rata majikan kedai nasi kandar di Pulau Pinang hanya mampu beroperasi lapan jam akibat kekurangan pekerja. – GAMBAR HIASAN

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Komuniti India Muslim Malaysia (iMcom), Mohamed Riz­wan Abdul Ghafoor Khan berkata, masalah kekurangan tenaga kerja masih berlaku sehingga kini dan ternyata sangat menjejaskan operasi perniagaan restoran nasi kandar.

“Saya menerima maklumat bahawa beberapa restoran nasi kandar popular di negeri ini tidak akan membuka operasi restoran mereka seperti dahulu lagi kerana kekurangan tenaga kerja.

“Dahulu kebiasaannya ketika Ramadan restoran nasi kandar akan membuka operasi bermula pukul 3 petang sehingga tamat waktu sahur, tetapi kali ini ba­nyak restoran hanya akan membuka operasi waktu sahur bermula 3 pagi hingga 6 pagi sahaja,” katanya di sini semalam.

Menurut Mohamed Rizwan, pengusaha restoran masih lagi terpaksa menunggu kemasukan pekerja asing untuk bekerja di restoran mereka selepas gagal mendapatkan pekerja tempatan.

“Pengusaha restoran berharap kerajaan dapat mempercepatkan kemasukan pekerja asing kerana pekerja tempatan tidak berminat untuk bekerja di restoran nasi kandar,” katanya.

Di Shah Alam, seorang pengusaha restoran mamak yang enggan dikenali berkata, pihaknya hanya boleh beroperasi 12 jam berikutan kekura­ngan pekerja.

“Sebelum ini, saya mempu­nyai 100 pekerja, namun kini tinggal kira-kira 40 orang. Kami hanya membuka restoran mulai pukul 11 pagi hingga 11 malam ketika ini,” katanya.

Ujarnya, operasi ketika Ramadan juga terpaksa dihadkan iaitu dibuka bermula pukul 5 petang hingga selesai waktu sahur.

“Masalah kekurangan pekerja ini turut dialami banyak restoran lain di Lembah Klang,” ujarnya.

Seorang pekerja yang mahu dikenali Husein, 40, berkata, ada restoran turut terpaksa ditutup kerana isu berkenaan.

“Jumlah pelanggan semakin ramai, namun pekerja masih kurang hingga menyebabkan beban kerja bertambah,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI