KUALA LUMPUR – ‘Bintang utama’ yang dibawakan Weststar Defence Industries Sdn. Bhd. (Weststar) berjaya mencuri perhatian delegasi tempatan dan antarabangsa.
Memiliki reka bentuk yang menarik dan gah, kenderaan tentera luar biasa itu mempunyai keupayaan pertahanan yang penting untuk menghapuskan ancaman dengan berkesan.
Lebih hebat, kenderaan yang dikenali sebagai Rapid Ranger STARStreak itu memiliki misil antara yang terpantas di dunia dengan kelajuan Mark III.
Bukan itu sahaja, kenderaan yang direka untuk menyasarkan sasaran udara seperti helikopter dan pesawat tanpa pemandu (UAV) itu juga memiliki kemampuan membunuh pada jarak tujuh kilometer.
Jurutera Eksekutif Weststar Azrul firas Azenan berkata, kenderaan itu ternyata menjadi ‘bintang utama’ pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2022) dan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC 2022) di sini.
“Sepanjang pameran ini diadakan, kita dapat lihat Rapid Ranger boleh diibaratkan seperti bintang utama.
“Kita juga mempunyai satu lagi produk iaitu floating bridge (jambatan terapung). Ini kerana jika berlaku peperangan, musuh akan menyerang laluan termasuklah jambatan,” katanya ketika ditemui di sini.
Azrul memberitahu, setakat ini, pihaknya sudah mengeluarkan sebanyak enam unit Rapid Ranger untuk Tentera Darat.
“Kami juga berharap dapat memasarkan produk di peringkat antarabangsa selepas ini sekali gus membuktikan Malaysia juga memiliki produk pertahanan yang boleh dibanggakan,” kata beliau.
DSA 2022 berlangsung selama empat hari bermula 28 Mac hingga 31 Mac ini. -KOSMO! ONLINE