fbpx

Polis tingkatkan kawalan SOP sempena Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azmi menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Perasmian Kempen Derma Darah sempena Hari Polis ke-215 yang berlansung di IPK Kuala Lumpur di sini, hari ini. - FOTO: MUHAMAD IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan kawalan prosedur operasi standard (SOP) pada bulan Ramadan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pemantauan akan dilakukan bukan sahaja di masjid atau surau malah akan dilaksanakan di bazar Ramadan dan pasar raya.

“Kita akan terus mempertingkatkan kawalan SOP pada bulan Ramadan bagi memantau pergerakan masyarakat khususnya di ibu negara.

“Pemantauan ini bukan saja dilakukan di masjid atau surau sahaja malah akan dilakukan di lokasi tumpuan ramai seperti bazar dan pasar raya,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Derma Darah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau turut memberitahu, jumlah anggota yang akan terlibat dalam penugasan SOP tersebut masih dalam perbincangan dan akan ditentukan dalam masa terdekat.

“Tujuan pemantauan SOP ini bagi memastikan masyarakat terus menjaga penjarakan sosial dan sentiasa memakai pelitup muka.

“Satu SOP baru juga dijangka akan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat ini dan Polis Kuala Lumpur sedia melaksanakan seperti ditetapkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kempen derma darah yang dianjurkan bersama Pusat Darah Negara, beliau menyasarkan Polis Kuala Lumpur menjadi agensi terbanyak menderma darah.

“Kita menyasarkan seramai 300 pegawai dan anggota mendermakan darah dalam tempoh tiga kali setahun seterusnya dapat membantu meningkatkan bekalan darah negara.

“Saya juga percaya usaha ini selari dengan moto Polis Diraja Malaysia ‘Polis dan masyarakat berpisah tiada’ yang sedikit sebanyak meningkatkan kesedaran masyarakat termasuk membantu mereka apabila diperlukan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI