fbpx

Penduduk trauma banjir lumpur, minta lebarkan saiz anak sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk sedang membersihkan lumpur di kediaman di Jalan Mulia 1/5, Taman Bukit Mulia, Bukit Antarabangsa, Ampang hari ini.

AMPANG – Kejadian banjir lumpur semalam umpama mimpi ngeri buat penduduk sehingga rata-rata mereka trauma dengan kejadian yang disifatkan kali kedua berlaku itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang semalam, banjir lumpur telah berlaku membabitkan kira-kira 30 kediaman di Jalan Mulia 1/4 dan 1/5, Taman Bukit Mulia, Bukit Antarabangsa, di sini.

Penduduk, Noor hayati Arifin, 61, berkata, kejadian berlaku kurang 30 minit selepas hujan lebat sekitar pukul 5 petang.

“Banjir bersama lumpur sangat laju masuk dalam rumah menyebabkan saya panik dan tidak sempat berbuat apa-apa.

“Kebetulan bomba yang tiba awal di lokasi meminta pasang karpet pada pintu pagar bagi menghalang lebih banyak lumpur masuk, syukurlah dua jam kemudian banjir mulai surut. Namun, meninggalkan lumpur yang banyak,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di lokasi hari ini.

Menurutnya, dia dan dua anak yang tinggal dia kediaman itu sejak enam tahun lalu tidak dapat melelapkan mata kerana khuatir insiden sama berulang lagi pada waktu malam.

“Kejadian ini menyebabkan kami anak-beranak trauma, bimbang kejadian lebih buruk berlaku,” ujarnya yang tinggal di rumah berkenaan sejak enam tahun lalu.

Seorang lagi penduduk, Ilya Syahira Suhaidi, 28, berkata, lumpur paras buku lali yang masuk dalam rumah menyebabkan ahli keluarga terpaksa meminta bantuan rakan-rakan untuk membersihkan rumah.

“Kami terpaksa guna penyembur air bagi membersihkan lumpur, kalau pakai peralatan biasa memang susah nak hilangkan lumpur.

“Akibat kejadian ini, keluarga berdepan kerugian kira-kira lebih RM10,000 apabila banyak peralatan yang rosak, antaranya almari dan kabinet,” ujarnya.

Jelasnya, kejadian kali ini merupakan yang kedua dan paling teruk berbanding kejadian kali pertama pada tahun 2019.

Ahli perniagaan, Roslan Mustafa, 59, menganggap kejadian banjir lumpur itu sebagai musibah dan peringatan Allah kepada penduduk.

“Sebelum ini banjir tak teruk macam ni, namun kali ini sangat teruk meskipun pihak berkuasa sudah memasang penghadang batu di tebing berdekatan aliran anak sungai di belakang kondominium Villaria (hadapan perumahan kami),” ujarnya.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Rosman, 57, pula berharap pihak berkuasa dapat melebarkan saiz anak sungai di belakang kondominium berkenaan bagi membolehkan ia dapat menampung jumlah air yang banyak bila berlakunya hujan lebat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI