PUTRAJAYA – Jalinan kerjasama antara Malaysia dan China dalam bidang perubatan tradisional adalah komitmen berterusan kedua-dua negara bagi menggalak, mempermudah dan mempromosi bidang berkenaan pada masa akan datang.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kerjasama itu penting bagi perkongsian dari segi amalan; bahan mentah dan produk; pendidikan dan latihan serta penyelidikan membabitkan perubatan tradisional.
Beliau berkata, perubatan tradisional di Malaysia adalah unik di mana ia mempunyai sejarah tersendiri hasil daripada pelbagai warisan, budaya, bahasa, dan bangsa di negara ini.
“Bagaimanapun, penyelidikan dalam perubatan tradisional dan komplementari di Malaysia masih dalam peringkat permulaan.
“Justeru, pengetahuan dan kepakaran luas dimiliki China sudah tentu dapat memberi manfaat kepada Malaysia khususnya penyelidikan dari aspek pencegahan dan rawatan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Dalam Bidang Perubatan Tradisional Antara Malaysia dan China, secara dalam talian hari ini.
China diwakili Pesuruhjaya Pusat Pentadbiran Perubatan Tradisional China Kebangsaan (NATCM), Dr. Yu Wen Ming.
Khairy berkata, kerjasama itu juga akan dapat membantu Malaysia bagi menetapkan dasar bersesuaian untuk mengurangkan beban penyakit di negara ini.
Menurutnya, kerjasama antara Malaysia dan China dalam bidang perubatan tradisional sudah terjalin sejak 10 tahun lalu ketika Tan Sri Liow Tiong Lai menjadi Menteri Kesihatan. – KOSMO! ONLINE