KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian dalam kemalangan di luar sebuah restoran di Jalan Klang Lama di sini.
K. Meena Sundram ,57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan itu di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar.
Tertuduh didakwa memandu Honda HR-V di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan sehingga menyebabkan kematian mangsa, Soh Cheng Keong @Soh Chin Kiew, 76.
Kesalahan dilakukan di Jalan Klang Lama menghala ke pusat bandar di sini pada pukul 8.50 malam, 20 Mac lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda maksimum RM100,000 selain hilang kelayakan memandu sehingga tujuh tahun dari tarikh disabitkan kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan lesen digantung sementara menunggu pelupusan kes. Sebutan semula kes pada 3 Mei ini.
Pada 21 Mac lalu, Kosmo! Online melaporkan seorang lelaki ditahan kerana dipercayai memandu dalam keadaan mabuk dan merempuh ruang luar sebuah restoran sehingga lapan pelanggan cedera di Jalan Klang Lama.
Dalam kejadian pukul 9.30 malam, lelaki terbabit memandu Honda HR-V hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kenderaan jenis Lexus yang diparkir di bahu kiri jalan.
Akibat pelanggaran itu kereta Lexus bergerak ke hadapan dan melanggar sebuah kereta Perodua Axia yang diparkir di hadapan restoran.
Impak rempuhan menyebabkan Perodua Axia melanggar lapan pelanggan yang sedang makan di ruang luar restoran dan dua pejalan kaki. -KOSMO! ONLINE