fbpx

Lauk tradisi jadi pilihan pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAFIUDDIN menunjukkan masakan lauk tradisi Seri Menanti yang menjadi piihan pengunjung seperti masak lemak daging salai terung telunjuk. – MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

TERLETAK di pekarangan Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti, Negeri Sembilan, sebuah kafe yang diberi nama Kopi Buyau memberi pengalaman gastronomi berbeza kepada para pelanggannya.

Menggabungkan elemen tradisional dan Barat, pelanggan akan dihidangkan menu masakan kampung tradisi Seri
Menanti sambil berpeluang menghirup pelbagai pilihan kopi Arabica.

Pemiliknya, Rafiuddin Baharuddin, 56, berkata, pengunjung yang datang ke Kopi Buyau bukan sahaja boleh melihat sendiri bangunan ikonik istana lama, malah boleh merasai pengalaman makan beradab ala zaman dahulu.

“Pelanggan yang datang ke Kopi Buyau boleh menikmati hidangan lauk kampung tradisi Seri Menanti yang dikenali sebagai lauk lingkungan.

“Terdapat pelbagai pilihan lauk kampung seperti daging salai masak lemak bersama terung telunjuk, rendang maman, siput sedut keladi, rendang ayam kampung daun pudina serta masak lemak ikan sembilang,” katanya ketika ditemui K2 di Kopi Buyau Seri Menanti, Kuala Pilah baru-baru ini.

Rafiuddin berkata, hidangan istimewa tersebut dimasak sendiri oleh dirinya bersama isteri, Fadzilah Ahmad, 52, menggunakan resipi turun-temurun keluarga.

“Hidangan lauk kampung istimewa ini biasanya disajikan kepada pelanggan pada waktu makan tengah hari setiap hujung minggu, namun pelanggan yang datang pada hari biasa boleh membuat tempahan awal untuk merasai menu ini.


KONSEP makan beradab dan makanan dihidangkan dalam dulang ditawarkan di kafe Kopi Buyau yang terletak di pekarangan Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti.

“Sebaiknya buat tempahan dahulu sebelum datang supaya kami boleh menyediakan menu mengikut cita rasa, selain mempersembahkan makanan dalam dulang menggunakan pinggan mangkuk antik dengan konsep makan bersila dan beradab,” katanya.

Bagi memberi kelainan dan variasi kepada pelanggan, Rafiuddin memberitahu, Kopi Buyau turut menyediakan minuman berasaskan kopi menggunakan biji kopi Arabica dan Robusta yang mempunyai aroma tersendiri.

“Minuman kopi ini sesuai dinikmati bersama menu sampingan kami iaitu scone dan pancake ala Barat atau cekodok dan lempeng.

“Alhamdulillah, setakat ini pelanggan memberi maklum balas positif.

“Mereka teruja dengan suasana unik di sini selain suka dengan hidangan yang disajikan terutama lauk kampung yang sukar didapati di tempat lain,” terangnya.

Lebih istimewa, Rafiuddin berkata, proses menyediakan bahan mentah untuk masakan termasuk menyalai daging, ayam kampung dan ikan sembilang dilakukannya sendiri menggunakan asap daripada sabut kelapa untuk memberi tekstur serta rasa tradisi.

MINUMAN kopi Arabica dan Robusta boleh dinikmati dengan hidangan sampingan seperti scone atau lempeng.

“Kebanyakan pelanggan memberitahu masakan di sini seperti makan di rumah dan rasa macam air tangan ‘uwan’ (nenek) yang masak.

“Pelanggan yang datang biasanya rindukan masakan dan suasana kampung.

“Ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata hendak makan di sini,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI