fbpx

Kuat merokok punca serangan jantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Tabiat me­rokok menjadi punca utama pe­nyakit jantung dalam kalangan kaum lelaki di negara ini sehingga membawa kepada kematian pada usia muda seawal 30 tahun.

Felo Klinikal Kardiologi & Pakar Perubatan Dalaman, Institut Jantung Negara, Dr. Iskandar Mirza Amran berkata, ramai rakyat negara ni menyedari tabiat itu memberi kesan buruk atau mudarat terhadap kaum lelaki.

“Tabiat merokok mampu memberi kesan kepada saluran darah. Jika keadaan itu berlanjutan, ia akan menyebabkan saluran darah tertutup sehingga berlaku keradangan akibat nikotin.

“Keadaan itu seterusnya menyebabkan berlaku serangan jantung,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, selain me-rokok, penyakit darah tinggi, kencing manis, kolestrol tinggi disebabkan pemakanan dan genetik turut menyumbang kepada serangan jantung.

Jelas Dr. Iskandar, bagi kes kematian mengejut ketika bersukan pula, kebanyakannya adalah disebabkan rentak jantung yang tidak normal.

“Ada banyak faktor menyebabkan rentak jantung menjadi tidak normal antaranya seseorang itu mempunyai sejarah serangan jantung. Selain itu, ada sesete­ngah lelaki dilahirkan dalam keadaan jantung tidak normal.

“Oleh itu apabila bersukan atau melakukan aktiviti yang memerlukan banyak tenaga, jantung perlu mengepam lebih kuat seterusnya menyebabkan rentak jantung bermasalah dan terhenti secara tiba-tiba,” ujarnya.

Dr. Iskandar turut menegaskan, lelaki di negara ini perlu melakukan pemeriksaan jantung pada peringkat umur awal bagi mengesan sebarang tanda tidak normal pada organ tersebut.

“Di United Kingdom misalnya, pemeriksaan jantung dalam kalangan lelaki dibuat seawal usia 20 tahun. Jika normal mereka perlu melakukan pemeriksaan secara rutin dalam masa tiga hingga empat tahun sekali.

“Namun di Malaysia, masih belum ada pemeriksaan mandatori secara spesifik dan kebanyakan lelaki hanya membuat pemeriksaan ketika usia mereka sudah meningkat 40 tahun,” katanya.

Tambah Dr. Iskandar, perkara itu perlu diubah dan pemeriksaan yang lebih awal serta kerap perlu dilaksanakan sekali gus dapat mengambil langkah proaktif bagi mengelak kematian awal.

Kosmo! semalam melaporkan kematian pada usia muda akibat serangan jantung semakin me­ningkat sejak pandemik Covid-19 disebabkan tekanan di tempat kerja dan masalah kewangan yang memberi kesan kepada golongan tersebut.

Pakar-pakar kesihatan mendedahkan berdasarkan maklumat sebahagian orang muda berusia dalam lingkungan 30-an yang meninggal dunia tidak me­nyedari mereka mempunyai masalah pada jantung. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI