JAKARTA – Gara-gara sakit hati kerana isteri meminta cerai, seorang lelaki di wilayah Jawa Tengah mengambil semula barangan kelengkapan rumah yang dihadiahkan kepada wanita berkenaan, lapor laman berita Suara.com hari ini.
Berdasarkan klip video yang tular, lelaki itu dan ahli keluarganya pergi ke rumah keluarga bekas isterinya dengan membawa sebuah lori.
Mereka kemudian mengambil semua hadiah yang diberikan ketika berkahwin dan memuatkannya ke dalam lori tersebut.
Antara yang diambil adalah almari serta beberapa barangan kelengkapan rumah yang lain.
Kekecohan yang berlaku pada waktu malam itu turut disaksikan oleh jiran tetangga dengan ada yang bersorak dan marah melihatkan kelakuan lelaki tersebut.
Tindakan itu dikatakan diambil kerana lelaki berkenaan tidak dapat menerima keputusan isterinya yang ingin berpisah dengannya selepas rumah tangga mereka mengalami masalah.
Video tersebut menjadi tular, manakala ramai netizen memberikan pelbagai komen.
“Rasa sakit hati ada kalanya boleh menghilangkan kewarasan akal fikiran,” kata seorang pengguna.
“Kenapa buat begitu? Kalau sudah namanya hadiah, ia sudah menjadi hak milik isteri walau apa juga masalah yang berlaku,” ujar seorang lagi. – AGENSI