KOTA BHARU – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang dipercayai mengalami masalah kemurungan dikhuatiri lemas selepas terjun ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Ibrahim Ali dekat Tendong di sini malam tadi.
Kejadian itu disedari oleh orang awam kira-kira pukul 11.15 malam selepas melihat kereta jenis Proton Iswara dipandu mangsa yang berusia 43 tahun berada di tepi jambatan itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, saksi itu juga melihat mangsa keluar dari kereta sebelum bertindak terjun ke dalam sungai itu.
Katanya, polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 11.32 malam terus bergegas ke lokasi kejadian.
“Berdasarkan keterangan abang mangsa, lelaki yang mempunyai isteri dan anak itu keluar dari rumahnya dengan memandu kereta tersebut seorang diri kira-kira pukul 11 malam.
“Mangsa yang mempunyai kad OKU dipercayai mengalami kemurungan sejak tiga hari lalu. Lelaki itu juga masih menerima rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini, katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. -KOSMO! ONLINE