PETALING JAYA – Seorang wanita yang keluar atau lari dari rumah tidak dijatuhkan hukum nusyuz sekiranya ia berkaitan dengan keselamatan mahupun kebajikan.
Menjelas perkara itu, Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli berkata, isteri tersebut berhak meninggalkan rumah yang didiami bersama suaminya jika dia menjadi mangsa dera ataupun nafkahnya diabaikan.
Beliau berkata, nusyuz bukan kata-kata yang dilafazkan atau hak suami, malah ia akan diputuskan oleh pihak mahkamah.
“Kalau anda (isteri) keluar rumah pastikan ada sebab, sebagai contoh terancam nyawa, keluar untuk mencari sumber pendapatan bagi rezeki sendiri ataupun suami mengabaikan nafkah isteri.
“Jadi dengan faktor-faktor seperti ini anda tidak boleh disabitkan nusyuz. Kalau dah kena pukul selalu takkan nak stay (hidup bersama) lagi,” ujarnya di Facebook.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, wanita seperti itu perlu keluar dari rumah untuk mendapatkan perlindungan.
“Jika dia (isteri) dipukul dia perlu keluar untuk mendapatkan rawatan dan membuat laporan polis. Begitu juga jika nafkah diabai dia perlu keluar untuk mencari rezeki sendiri.
“Islam tidak pernah menzalami seseorang wanita dengan tidak membenarkannya keluar rumah walaupun pernah dipukul dan tidak pernah diberikan nafkah. – KOSMO! ONLINE