PETALING JAYA – Beberapa kawasan di enam buah negeri akan mengalami hujan lebat beserta ribut petir sehingga pukul 8 malam ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan di laman Facebook berkata, enam negeri tersebut adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Bagi negeri Kelatan, kawasan yang terlibat adalah Jeli, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Gua Musang, mananakala di Terengganu ia membabitkan kawasan Hulu Terengganu serta Dungun.
“Di Pahang pula, ia melibatkan kawasan Tanah Tinggi Cameron, Jerantut, Temerloh dan Rompin, sementara itu di Johor ia melibatkan daerah Segamat serta Mersing.
“Beralih ke negeri Sarawak, kawasan yang terlibat adalah Kuching (Kuching), Samarahan (Samarahan dan Asajaya), Betong (Betong), Sarikei (Pakan), Mukah (Tanjung Manis, Daro dan Matu), Kapit (Kapit), Miri (Subis dan Marudi) serta Limbang,”ujarnya.
Tambah MetMalaysia, untuk negeri Sabah, kawasan yang terlibat adalah Pedalaman (Sipitang, Tenom dan Beaufort), Pantai Barat (Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau dan Kota Belud), Tawau (Lahad Datu) dan Sandakan (Tongod, Telupid dan Kinabatangan).
Jelas MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,”katanya.-KOSMO! ONLINE