SEREMBAN- Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menetapkan bayaran zakat fitrah bagi Negeri Sembilan tahun ini pada tiga kadar berbeza iaitu RM7, RM10 dan RM21 seorang berbanding satu kadar bayaran iaitu RM7 tahun lalu.
Pengerusi MAINS, Datuk Dr. Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir berkata, pihaknya memberi pilihan kepada mana-mana individu yang ingin membuat bayaran lebih tinggi berdasarkan keselesaan mengikut harga beras yang dimakan.
“Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir telah berkenan mewartakan kadar zakat fitrah bagi tahun ini iaitu kadar asas RM7 seorang adalah jumlah terendah. Umat Islam yang ingin membayar lebih daripada kadar tersebut adalah digalakkan membayar mengikut kadar zakat sebanyak RM10 seorang dan RM21 seorang.
“Kadar zakat fitrah ini diperkenalkan dengan tiga pilihan mengikut kumpulan majoriti yang makan beras jenis yang dimakan agar dapat membantu fakir miskin di negeri ini.
“Jika sebelum ini pihak MAINS membayar RM350 satu keluarga namun, tahun ini peruntukan bantuan sebanyak RM500 hingga RM700 bagi setiap keluarga,” katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar Penetapan Kadar Zakat fitrah di Menara MAINS di sini hari ini. -KOSMO! ONLINE