SEREMBAN – Peniaga-peniaga bazar Ramadan diingatkan supaya tidak menghalang laluan utama ketika menjalankan perniagaan pada bulan puasa nanti kerana ia boleh mengganggu respon masa pihak bomba untuk ke lokasi kecemasan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Hamdan Ali berkata, peniaga juga perlu mengelak untuk berniaga di kawasan terletaknya pili bomba bagi membantu mempercepatkan respon pihak bomba apabila berlaku kebakaran.
“Saya hendak mengingatkan peniaga supaya tidak menghalang laluan atau jalan kerana khuatir pihak bomba akan mengambil masa dan lewat untuk tiba di lokasi kecemasan agak lewat.
“Kami juga berharap peniaga juga mengelakkan berniaga di kawasan di mana terletaknya pili bomba bagi mempercepatkan respon apabila berlaku kebakaran. Pihak bomba juga telah mempercepatkan respon terhadap kes-kes kecemasan dalam tempoh lapan minit daripada 10 minit sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2022 JPBM Negeri Sembilan di Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Ibu Pejabat Bomba Negeri Sembilan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hamdan memaklumkan, sebanyak dua buah balai bomba baharu serta sebuah balai bomba dinaik taraf telah siap dibina dan dijangka beroperasi tidak lama lagi.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan balai yang akan beroperasi adalah sebanyak 21 buah balai bomba di seluruh Negeri Sembilan. Ia mengambil masa untuk siap sebelum ini berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Balai bomba baharu yang bakal beroperasi adalah Balai Bomba Kota (Rembau) dengan kos anggaran RM2.5 juta, Balai Bomba Palong 6 dengan anggaran kos sebanyak RM2.5 juta dan Balai Bomba Seremban yang dinaik taraf dengan anggaran kos sebanyak RM2.3 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE