AKTRES cantik Indonesia, Zaskia Adya Mecca mendedahkan pernah menjadi mangsa dera oleh ibu sendiri ketika zaman kanak-kanaknya.
Isteri kepada pengarah Hanung Bramantyo itu berkata, dia sering dimarahi dan dipukul ibunya ketika zaman kanak-kanak walaupun hanya disebabkan kesalahan kecil.
“Saya pernah dimarahi dan dipukul dengan teruk oleh ibu kerana tidak mahu makan. Kepala saya dipukul dan rambut ditarik.
“Saya diseret tanpa belas kasihan. Ketika itu saya hanya mampu menangis sepuas-puasnya,” ujar Zaskia.
Pelakon filem Ayat-Ayat Cinta itu pernah bertanyakan hal tersebut kepada ibunya, namun wanita itu mendakwa tidak mengingati tentang kejadian tersebut.
“Tiga tahun lalu saya pernah bertanyakan kejadian itu kepada ibu. Namun dia tidak ingat tentangnya.
“Sebagai anak yang menjadi mangsa, sudah tentu saya masih mengingati tentang kejadian dipukul oleh ibu,” ujarnya.
Bagaimanapun, ibu kepada lima orang cahaya mata itu memberitahu bahawa dia sudah pun memaafkan segala perbuatan ibunya dan menjadikan kejadian tersebut sebagai pengajaran.