MUNGKIN kedengaran agak lucu, namun itulah yang terjadi kepada penyanyi popular Tae-hyung atau V apabila gambar anjing peliharaannya mendapat perhatian luar biasa.
V cukup dikenali sebagai artis yang memiliki kuasa media sosial paling kuat apabila memecah rekod sebagai selebriti paling cepat menerima jumlah pengikut Instagram sebanyak sejuta dalam masa 43 minit selepas akaun tersebut dibuka pada 6 Disember tahun lalu.
Kali ini, dia sekali lagi memecah rekod apabila dimasukkan dalam senarai hantaran Instagram paling banyak menerima tanda suka peringkat global.
Pencapaian tersebut diraih menerusi perkongsian gambar comel anjing kesayangannya yang bernama Yeontan atau Tannie yang dimuat naik pada 7 Disember tahun lalu.
Sama seperti tuannya, anjing tersebut sangat terkenal, lebih-lebih lagi dalam kalangan peminat setia V sehinggakan mereka pernah meraikan hari lahir Tannie dengan penganjuran pelbagai acara.
Rekod yang diraih V meletakkan dia sebaris dengan beberapa nama popular antarabangsa lain yang menerima tanda suka paling banyak setakat ini.
Nama V menyertai penyanyi Ariana Grande, Billie Eilish, Kylie Jenner, Cristiano Ronaldo, Chadwick Boseman dan Tom Holland.