fbpx

Tuah ‘pinjaman’ Elica Paujin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUA kali berturut-turut diangkat sebagai juara program realiti hiburan popular membuktikan anak muda kelahiran Tambunan, Sabah ini mempunyai kehebatan tersendiri.

Elica Paujin, sepotong nama yang begitu indah secantik tuan punya badan yang bakat nyanyiannya tidak perlu dipertikaikan.

Jika lima tahun lalu, dia dijulang sebagai juara Mentor Milenia 2017 menundukkan beberapa pesaing lain, malam Ahad lalu dia sekali lagi dinobat sebagai juara.

Cumanya kalau dahulu, dia menjadi protege dan anak didik kepada penyanyi terkenal Akim Ahmad, kali ini tiada gelaran protege buatnya dan semuanya dikemudi sendiri.

Big Stage 2022 (BS4). Itulah pentas di mana Elica sekali lagi memberanikan diri dan mencuba nasib dalam pentas nyanyian berskala besar.

Lapan minggu berhempas-pulas memastikan dirinya terus diterima hingga ke pentas akhir, penat lelah Elica akhirnya terbalas selepas diumumkan juara.

“Jujur saya masih terkejut dengan keputusan yang diumumkan. Saya langsung tak pernah terfikir bergelar juara untuk kali kedua ini.

“Kalau ikutkan, semua peserta yang masuk BS4 hebat-hebat belaka termasuklah yang berjaya lolos ke pentas akhir.

“Terima kasih buat anda semua penyokong dan sesiapa saja yang menyokong dan ada bersama dengan saya. Kemenangan ini untuk anda semua,” katanya kepada Hib Glam.

ELICA menganggap kemenangannya ini hanyalah sebagai satu permulaan buat karier seninya yang masih panjang perjalanannya.

Kepercayaan

Meneruskan kata-kata, Elica atau nama sebenarnya Angelica Paujin berkata, dia begitu terharu kepada rakan seangkatan yang sudah dianggap seperti abangnya sendiri, Hael Husaini.

Kata Elica, dia terkejut ketika Hael berbesar hati untuk meminjamkan mikrofon miliknya yang berharga puluhan ribu ringgit kepadanya pada pentas akhir.

Katanya, meskipun berbesar hati dan teruja diberikan mikrofon tersebut, pada masa sama dia berasa gusar mengenangkan nilai harganya.

“Saya dapat rasakan aura juara apabila menyanyi dengan menggunakan mikrofon milik Hael. Terharu sangat apabila dia sudi meminjamkannya kepada saya.

ELICA berjanji untuk terus aktif dalam dunia seni dan nyanyian yang dicintai.

“Saya tahu harganya mahal dan takut juga nak pegang, namun Hael beri saya kepercayaan untuk menggunakannya di malam akhir dan dapat berduet bersamanya.

“Mikrofon tersebut membantu untuk jadikan suara saya lebih jelas. Saya sudah lama kenal Hael dan untuk malam akhir ini dia banyak berkongsi nasihat untuk memberikan persembahan yang terbaik,” katanya.

Tambah gadis berusia 23 tahun itu lagi, dia tidak menolak untuk berkolaborasi bersama Hael dan mana-mana penyanyi lain pada masa akan datang.

Katanya, melihat kejayaan Hael sebagai seorang penyanyi dan komposer terkenal, Elica amat berbesar hati jika dapat menyanyikan lagu ciptaan rakannya itu.

“Jauh di sudut hati saya memang mahukan sebuah lagu ciptaan Hael. Dapat berduet dalam satu lagu bersama dengannya pun saya inginkan.

“Kita semua tahu dia seorang komposer hebat dan sudah berjaya menang anugerah menerusi lagu-lagu ciptaannya sebelum ini,” katanya lagi.

KEMENANGAN Elica buat kali kedua membuktikan bakat seni suaranya masih ampuh dan bukan calang-calang.

Keluarga, showcase

Bercerita tentang wang kemenangan, Elica memberitahu dia akan berkongsi dengan keluarga selain mahu membuat persembahan khas buat peminat di negeri kelahirannya, Sabah.

“Saya sudah berjanji daripada awal lagi jika menang akan beri separuh wang tersebut kepada keluarga.

“Selain itu saya juga mahu adakan satu showcase istimewa buat peminat di Sabah kerana mereka tidak dapat datang ke Kuala Lumpur menyaksikan persembahan saya secara langsung.

“Showcase itu sebagai hadiah buat mereka dan sebagai tanda terima kasih saya buat mereka yang tidak pernah jemu menyokong saya sejak dari dahulu lagi hinggalah kini,” katanya.

Beritahu Elica lagi, dia juga bakal pulang ke kampung halamannya sempena cuti Ramadan dan Aidilfitri untuk meluangkan bersama keluarga tersayang.

“Habis sahaja BS4 ini, saya mahu berehat buat sementara waktu dan mahu meluangkan masa bersama keluarga. Awal April nanti saya merancang pulang ke Sabah.

“Lepas habis raya nanti, barulah saya akan kembali ke Kuala Lumpur dan mulakan aktiviti serta perancangan seni mengikut

ELICA memasang hasrat untuk berkolaborasi dengan mana-mana penyanyi pada masa akan datang termasuklah rakannya, Hael Husaini.
– AZRUL RAFIE
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI