JAKARTA – Syarikat minyak dan gas Indonesia, PT Pertamina, sedang menilai potensi untuk membeli bekalan minyak mentah dari Rusia di tengah-tengah sekatan yang dikenakan Barat ke atas Moscow, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia semalam.
Pengarah Utamanya, Nicke Widyawati berkata, syarikat itu tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan tersebut disebabkan harga minyak dari Rusia lebih murah ketika ini.
“Dengan harga yang ditawarkan Rusia serta situasi geopolitik semasa, kami melihat terdapat peluang untuk membeli bekalan minyak mentah dari negara itu pada harga lebih kompetitif.
“Pengarah Utama PT Kilang Pertamina Internasional (KPI), Taufik Aditiyawarman juga sudah mengambil beberapa langkah ke arah itu,” katanya.
Tambah Nicke, pihaknya telah melaksanakan penyelarasan bersama Kementerian Luar Indonesia dan Bank Indonesia untuk mengambil langkah tersebut.
“Secara politik, tidak ada sebarang masalah bagi urus niaga yang sedang dibincangkan ini. Pembelian minyak dari Moscow juga dilakukan berdasarkan asas perniagaan ke perniagaan (B2B),” ujarnya.
Sementara itu, Nicke berkata, minyak mentah yang dibeli itu dijangka untuk diproses semula di fasiliti kilang di Balongan. Bagaimanapun, kerja-kerja pengubahsuaian di kilang itu dijangka hanya akan selesai Mei depan.
Buat masa ini, kilang di Balongan hanya boleh memproses minyak mentah dengan kadar sulfur yang rendah seperti yang dihasilkan oleh syarikat Saudi Aramco.
“Namun, selepas diubah suai, kilang Balongan akan menjadi lebih fleksibel untuk memproses apa sahaja jenis minyak mentah,” kata Nicke. – AGENSI