BANDAR RAYA MEXICO – Tiga orang terbunuh selepas sebuah pesawat ringan terhempas ke dalam sebuah pasar raya di Mexico kelmarin, demikian menurut beberapa laporan seperti yang disiarkan akhbar Metro UK.
“Sekurang-kurangnya tiga orang lagi cedera dalam tragedi itu,” lapor media tempatan, Excelsior.
Beberapa gambar yang disiarkan media tempatan dan laman sosial menunjukkan bangkai pesawat itu di kejiranan Azteca, Temixco.
Terdapat kebimbangan letupan akan berlaku tetapi agensi Perlindungan Awam Persekutuan memberi jaminan kepada orang ramai bahawa tiada bahaya lain di lokasi kejadian.
Beberapa saksi memberitahu akhbar tempatan, Diario de Morelos bahawa mereka melihat pesawat itu mengalami masalah untuk terus berada di udara dan menyatakan, juruterbang gagal mengawal kapal terbang kecil itu.
Pesawat itu dipercayai daripada jenis BE9L yang berlepas dari pelabuhan Acapulco dan menuju ke negeri Puebla.
“Asap keluar dari salah sebuah enjinnya sebelum pesawat terhempas,” kata beberapa saksi.
Dua mangsa yang cedera dibawa ke hospital berdekatan manakala yang lain dibenarkan pulang ke rumah. – Agensi