PETALING JAYA – Seorang pensyarah telah menubuhkan satu dana bagi membantu pelajarnya memiliki sebuah komputer riba bagi kemudahan pembelajarannya.
Ketua Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Wan Amizah Wan Mahmud berkata, dia melakukan pendanaan awam atau ‘crowdfunding’ dalam kalangan pensyarah di pusat pengajiannya.
“Kutipan tersebut berjaya mengumpulkan sejumlah RM1,000, tak kira bangsa dalam kalangan pensyarah, semua dermawan dan pemurah dan menjadi kebiasaan pada awal semester untuk buat kutipan bantu pelajar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Terbaharu, satu ciapan yang dikongsikan oleh seorang graduan, Aira di Twitter menceritakan kisah Dr. Wan Amizah yang membantunya membeli sebuah komputer riba kerana bagi memudahkannya menyiapkan tugasan tesis.
Mengulas lanjut, Dr. Wan Amizah memaklumkan pelajar tersebut merupakan daripada keluarga golongan berpendapatan rendah (B40) dan tidak mempunyai wang belanja yang mencukupi.
“Komputer riba pelajar tersebut rosak dan bila pergi kedai, katanya dah rosak teruk, tak boleh dibaiki semula, kemudian saya tawarkannya untuk guna komputer riba saya apabila dah pulang ke UKM semula.
“Tapi sehari sebelum balik kampus, semua pelajar diarahkan pulang, jadi pelajar ini tak dapat balik kampus dan saya tak dapat pinjamkan dia komputer riba,” ujarnya.
Sehubungan itu, dia terus bertindak membuat kutipan derma dalam kalangan pensyarah di fakulti agar dapat memberi sumbangan kepada pelajar berkenaan dengan jumlah sebanyak RM300.
“Dia usahakan untuk beli komputer riba yang ‘secondhand’ guna duit RM300 itu dan saya tanya berapa kos sebenarnya dan dia kata RM700, jadi saya kirimkan lagi RM400 seperti mana yang dikongsinya di Twitter.
“Alhamdulillah, yang penting asalkan dia boleh siapkan tesis dia dan baki dari kutipan derma, saya agihkan kepada pelajar lain yang juga hadapi masalah dengan komputer riba mereka masing-masing,” jelasnya.
Katanya lagi, dia amat menyayangi setiap pelajarnya dan menganggap mereka seperti anak sendiri dan menyatakan sebagai pensyarah mestilah selalu mendoakan buat pelajar mereka serta membantu secara rela sebagai saham akhirat kelak. – KOSMO! ONLINE