PUTRAJAYA – Seorang bekas pengurus projek direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes menerima suapan.
Menurut sumber, ia sebagai balasan untuk memberi kerja-kerja pembekalan dan pemasangan papan tanda serta logo kepada sebuah syarikat.
Menurut sumber, suspek yang berusia 41 tahun ditahan petang semalam di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.
“Perintah reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 3 April 2022 dikeluarkan oleh Majistret Wong Chai Sia terhadap suspek lelaki itu di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini,” katanya.
Sumber berkata, suspek yang merupakan bekas pengurus projek sebuah syarikat dipercayai menerima suapan bernilai RM30,000 melalui akaun bank syarikat miliknya daripada seorang pengurus syarikat lain.
Katanya, ia sebagai balasan untuk memberi kerja-kerja membekal dan memasang papan tanda dan logo kepada syarikat tersebut bagi sebuah stesen televisyen tempatan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Razaliah Ab. Rahman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman tersebut.
Beliau berkata, suspek ditahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE